About This Blog

“Maecen tempu tel lus egetof condimentum rhoncus se quam semper libero”
by Namquam Adipiscing
Delete this widget from your Dashboard and add your own words. This is just an example!
2

KECEMERLANGAN ADALAH KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

|

25 April 2009

Sekadar buat renungan dan motivasi diri untuk menempuh Imtihan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Kredit to Akhi Ali Hussen.

Sesungguhnya kecemerlangan akademik adalah kepentingan yg besar dalam kehidupan umat Islam, yang mana disana terdapat ulama’ yg meninggalkan kepada dunia ilmu-ilmu dan amal mereka, contoh seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi, Ibnu Nafis dan ramai lagi.

Oleh itu marilah kita bertanya pada diri,

MENGAPAKAH AKU PERLU CEMERLANG? baca selanjutnya dari sumber...

4

Buka Ruangan Komentar!

|

17 April 2009

Bagi seorang blogger, tiada apa yang lebih memuaskan hati, hanyalah apabila dapat menulis serta mampu meng'update'kan blog dari semasa ke semasa. Apatah lagi, sewaktu mengisi ruangan 'new post' itu, idea datang menjenguk mencurah-curah dan sesuai pula pada masanya. Sudah tentu ianya akan menambahkan lagi keghairahan untuk mengarang.

Tambahan pula, cara dan gaya olahan ayat tulisan memang tip-top, sehingga dapat menimbulkan rasa semangat para pengunjung alam maya yang terkadang itu hanya singgah sebentar sekadar untuk tumpang bertenggek. Fenomena sedemikian sudah pastinya akan menjadikan mereka lebih berasa tertarik, lantas mengabadikan blog itu sebagai tempat persinggahan yang lazim dek kerana terpikat akan keindahan blog dan susunan bait-bait olahan ayat yang termaktub di dalamnya.

Bagi sesetengah blogger pula, tidak cukup dengan itu sahaja. Ada yang cenderung menghias blog dengan pelbagai design grafik dan aksesori tambahan yang menarik dan berguna. Mereka merasakan hal sedemikian lebih mampu dan berkesan untuk menarik perhatian, menawan kalbu dan menambat hati para pengunjung. Namun kesemuanya itu tadi, seolah tidak bermakna jikalau mereka tidak pandai dan gagal memanfaatkan blog mereka seadanya.

Suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh mat-mat blogger, yang gemar menulis dan mengulas tentang seuatu isu serta kerap kali menampilkan sesuatu pendapat dan pandangan, adalah menjadi satu kemestian bagi mereka membuka dan memberi ruang untuk para pengunjung meninggalkan komentar.

Samada komentar yang ditinggalkan itu berbentuk pertanyaan atau nasihat atau pandangan atau kritikan, ianya seakan menjadi satu tanda, bahawa post-entry kita itu ada nilainya tersendiri dan benar-benar menarik perhatian mereka, sehingga membuatkan mereka gatal tangan untuk meniggalkan kesan di situ. Keengganan berbuat demikian adalah menjadi satu faktor para blogger boleh dilabelkan sebagai seorang yang syok sendiri (SS).

Memang bukan semua orang suka hasil karyanya itu dikomen. Namun komentar yang dilemparkan dan ditujukan itu memberi maksud yang cukup mendalam untuk menilai sejauh mana tahap penulisan dan keberkesanannya dari sudut pandangan orang lain.

Satu hakikat yang perlu difahami, memberi komentar tidak hanya ketika seseorang melakukan kesalahan, namun juga ketika melakukan perkara yang baik dan betul. Jadi tidak salahnya kita membuka dan memberi ruang untuk dikomen.

Komentar berbau kritikan yang dilemparkan, boleh dijadikan sebagai cabaran buat para blogger, dan jika tidak benar sekalipun, buktikan kepada semua pihak akan kebenarannya daripada kita menyekat dan menghalang sekaligus menggambarkan bahawa kita adalah seorang yang tidak boleh dikritik. Sikap sebegini juga seolah-olah mengatakan bahawa pandangan dan buah fikiran kita adalah benar dan harus diterima oleh semua pihak. Dari mana kita belajar teori itu?

Ruangan komentar yang dibuka adalah mencerminkan bahawa kita mempunyai prinsip-prinsip yang jelas. Kebersediaan kita untuk diritik juga memberi makna bahawa kita benar-benar ikhlas dan yakin dengan setiap apa yang kita tampilkan dari buah fikiran dan pandangan kita. Ia juga menggambarkan bahawa kita mengamalkan sikap keterbukaan dan tidak takut untuk ditegur sekiranya kita tersalah.

Dengan mengamalkan sikap sedemikian, akan suburlah budaya berkongsi pendapat dan bertukar-tukar pandangan yang sudah tentunya akan membuahkan hasil perpaduan dan kesatuan yang kukuh lagi stabil. Juga, kita dapat mengkaji kelemahan dan melihat sejauh mana penerimaan para penjelajah alam maya ini terhadap apa yang cuba kita tampilkan melalui hasil tulisan kita.

Sikap blogger yang menyekat dan menghalang, tidak membuka ruang untuk dikomen hanya akan mengundang kebencian para pengunjung. Mereka hanya dapat membaca dan melihat tulisan kita tanpa kita mengetahui, adakah mereka bersetuju dengan apa yang kita lontarkan atau sebaliknya?

" Keredhaan seluruh manusia adalah suatu perkara yang tidak akan pernah dinikmati "~Hikam wa Amsal
Ada pula sikap sesetengah blogger, yang hanya meng'accept' atau meng'approve' komen-komen yang sealiran dengannya yang menyokong dan bersetuju dengan pandangan dia sahaja. Sikap sebegini hanyalah sikap orang yang mementingkan diri sendiri, takut menghadapi kenyataan dan mencerminkan bahawa dia tidak mempunyai prinsip-prinsip yang jelas dan teguh. Dia juga merupakan seorang yang tidak jujur dan ikhlas dalam menampilkan hasil buah fikiran dan pandangannya. Tindakannya itu menampakkan hilangnya kekuatan daya intelek dan professional. Adalah lebih baik baginya untuk duduk diam-diam!

Bagi aku yang masih baru dalam alam maya ini, aku lebih cenderung untuk membaca hasil penulisan seseorang serta cuba memahami tulisannya itu. Aku tidak pandai menulis dan mengolah ayat berirama untuk menarik perhatian orang yang membaca. Kebanyakkan hasil tulisan aku, adalah cedukan dari beberapa artikel yang aku rasa boleh dijadikan panduan. Selagi aku mampu untuk mengolah ayat sendiri untuk mengelakkan dari berlakunya kes 'copy' dan 'paste', selagi itu akan terus menulis mengikut selera kehendak nafsu buas aku. Perlu dimaklumkan, (supaya tidak berlaku kekeliruan) sememangnya blog aku adalah untuk tatapan peribadi. Aku tidak pernah menjemput sesiapapun secara rasmi untuk datang menatap blog aku yang serba kekurangan ini.

Jadilah blogger yang sejati!

P/S: Jangan fikirkan yang sedap saja, kadang-kadang kita kena juga telan yang pahit, sebab kadang-kadang yang pahit itu ubat, sedang yang sedap itu racun. ~HM Tuah Iskandar al-Haj~

0

Akhlak Terpuji Peribadi Dihormati!

|

2 April 2009

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Surah Al-Ahzab : 21
Dalam sebuah hadis sabda Nabi SAW yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna Iman adalah manusia yang akhlaknya paling baik.”

Sabda Nabi SAW juga yang bermaksud;

“Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang baik.”

Akhlak merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia muslim.

Tanpa akhlak, muslim yang selayaknya menerima pujian akan dicela dan dihina ekoran akhlak yang mulia tidak ditonjolkan kepada manusia, terutama kepada bukan muslim.

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin besar yang telah membuktikan kehebatan dan keindahan akhlak baginda.

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w , sewajibnya kita mengikut segala akhlak Baginda SAW, agar ikutan tersebut memberi kesan kepada kita dengan mendapat syafaat dan tergolong dari kalangan orang yang bersama-sama dengan baginda SAW di dalam syurga nanti.

Sumber: AL-BAKISTANI KE FIKRAH HAI

-------------------------------------------------------------------------------------------------

"Siti Nurhaliza kunjungi Nik Aziz"


KOTA BHARU, 2 April: Penyanyi nombor satu Negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar yang berlangsung kira-kira setengah jam itu turut dihadiri suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Datuk K’.

Siti Nurhaliza yang lebih mesra dengan panggilan ‘Siti’ mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru sempena dengan persembahannya di negeri itu sempena keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang ke-59 di sebuah hotel malam tadi.

Sempena dengan kunjungan julungkali itu, Siti Nurhaliza turut menyampaikan cenderahatinya buat Tuan Guru dan begitu juga Tuan Guru turut menyampaikan cenderahati kepada pasangan suami isteri itu.

Datuk K sempat bertanya tentang kesihatan Tuan Guru khususnya berhubung masaalah penyakit yang dihidapi ketua kerajaan itu.

Siti ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkannya itu untuk bertemu akhirnya membuahkan hasil walaupun pertemuan itu hanya secara spontan tanpa dirancang awal.

Menurutnya, selama ini beliau hanya mengenali Tuan Guru hanya dalam media masa dan televisyen sahaja, tanpa bertemu secara dekat.

“Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami dan pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa sebenarnya, maksudnya tiada agenda apa-apa.

“Orang kata sepanjang hidup ni nak juga lah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadinya,”ujarnya lagi.

Setelah bertemu dengan Tuan Guru, beliau semakin mengenalinya sambil menyifatkan Tuan Guru seorang yang berpegang pada prinsip serta ajarannya yang tersendiri.

“Saya selalu datang Kelantan, orang kata nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru selaku tuan rumah pada negeri ni dan tidak adalah orang kata istimewa ke apa-apa ke," katanya.

Sementara itu kakitangan Pejabat Menteri Besar serta kakitangan awam lain yang berhampiran dengan pejabat itu turut mengambil peluang untuk bertemu dengan salebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar.

Salmah Mat Husain
Foto: Rizal Tahir
Sumber: SIASAH

P/S: Akhlak yang mulia adalah cerminan dari keperibadian yang unggul..

0

Buat baik dibalas baik...

|

29 March 2009

( Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?Ar-Rahman;60 )

Lama menyepi. Macam biasa, alasan yang sudah bosan dan agak terkebelakang tapi masih relevan untuk digunakan serta susah untuk di tolak; kekurangan dan kekeringan idea membelenggu diri serta ketiadaan waktu untuk menulis kerana telah banyak digunakan atau ayat lebih tepat lagi dihabiskan pada perkara-perkara yang agak kurang berfaedah. Tanpa berhajat dan perlu untuk menukilkan perkara-perkara tersebut, kali ini entry lebih cenderung kepada nasihat dan pesanan untuk diri sendiri khususnya.

Pepatah Melayu, yang penuh sarat dengan kalam sastera orang-orang tua lama yang terkadang banyak terpengaruh dengan tahyul yang karut-marut ada menyebut; "buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali" ( macam nak sama dengan PS aku pada entry lepas ). Walaupun banyak tafsiran dan terjemahan yang boleh dibuat pada pepatah ini, namun apa yang hendak dimaksudkan adalah seakan-akan maksud kalam Allah s.w.t di atas. Sudah tentunya tanpa syak wasangka dan ragu-ragu lagi, Al-quran telah wujud sebelum pepatah Melayu yang kebanyakkannya karut-marut muncul. Sekaligus ini bermakna, pepatah Melayu itu tadi telah mengambil dan meminjam serta mengiyakan akan kalam Allah yang sebenarnya tidak berhajat dan perlu lansung kepada peng"iya"an mana-mana kaum termasuklah Melayu itu sendiri.

Sekilas pandang, kita melihat ayat tersebut seolah-olah hendak menyatakan kepada kita bahawa, perbuatan yang baik semestinya perlu dibalas dengan kebaikan jua (bukan setakat kena kenang ja). Sebagai orang Islam yang telah lama menganut agama yang suci dan murni ini, sejak dari dalam perut ibu hinggalah besar hampir serupa gajah, satu perkara yang telah kita fahami dan maklumi, sesungguhnya Allah s.w.t tidak pernah berhajat apa-apapun daripada hamba-hambanya walaupun sekelumit.

Dalam konteks ayat di atas, ianya bukan bermaksud; apabila Allah s.w.t menurunkan kebaikkan kepada kita, maka seharusnya kita perlu membuat kebaikkan sebagai balasan untuk apa yang diturunkan olehNya. Jika kita mentafsirkan sedemikian rupa, maka kita seolah-olah mengatakan bahawa kita perlu membuat kebaikan kepadaNya juga sebagai balasan. Adakah Allah s.w.t berhajat kepada kebaikkan kita? dan adakah sebelum Allah s.w.t menciptakan kita, Dia berjahat kepada hamba-hamba atau ciptaan untuk berbuat baik kepadaNya? Maha suci Allah dari segala perkara itu. Dia adalah Maha kaya-raya. Setiap apa yang selainNya itu adalah ققير اليه (berhajat kepadanya). Firman Allah s.w.t yang bermaksud:"

(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu. Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah."
Sebenarnya, perbuatan baik yang kita lakukan dan laksanakan adalah ianya semata-mata hanyalah untuk diri kita yang hina-dina ini. Perbuatan itu tidak ada kena mengena lansung dengan nikmat kebaikan yang telah Allah turunkan kepada segenap manusia. Perbuatan itu pada hakikatnya adalah untuk bekalan kita untuk berjumpa dengan Pencipta segala kejadian. Kita sebagai hambaNya akan berasa amat malu apabila memerhatikan dan mendalami maksud ayat tersebut yang pada zahirnya, ia menyeru kepada kita untuk membalas padaNya dengan kebaikan di atas segala jenis kebaikan yang telah diturunkan. Sebaliknya pada hakikat sebenar, balasan itu bukanlah untuk Dia, akan tetapi ianya adalah untuk diri kita sendiri. Seolah-olah Allah s.w.t sengaja meletakkan diriNya sebagai penerima kebaikan supaya kita sebagai hambanya suka dan cinta untuk terus melakukannya.

Kebiasannya dalam kehidupan manusia, kalau kita menerima sesuatu yang baik, sudah tentu kita akan membalas seumpamanya jua, yang seterusnya akan membawa kebaikan dalam perhubungan sesama manusia. Nah, inikan pula membalas dengan berbuat baik (mentaati perintah Allah dan RasulNya) kepada Sang Pencipta yang menurunkan rezeki dan rahmat! Sudah tentu akan melimpah-ruah dan berganda nikmat yang akan diturunkan kelak. Siapa yang berakal dan cukup sifatnya sebagai seorang manusia, yang tidak suka mendapat balasan, apabila melakukan kebaikan kepada seseorang (tak kigha la mintak ka dak. Persoalan dia suka ka dak?)?.

Seolah-olahnya kita ini, apabila berbuat baik kepada Allah, Dia akan membalas dengan kebaikan sepertimana pepatah Melayu (yang kebanyakannya sonsang) tadi " buat baik dibalas baik " . Padahal, perbuatan baik yang dikerjakan itu adalah berbalik kepada bekalan untuk kita di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. "
Maka dengan itu, aku menyeru diri aku sendiri khususnya (bila ada khusus mesti ada am, pandai-pandai buat ayat sendiri) untuk melakukan kebaikan dan terus melaksanakannya hanya semata-mata untuk diri yang hina-dina ini. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

" Ya Allah Ya Tuhanku, telah benarlah setiap apa yang Engkau katakan( Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?). Sesungguhnya Engkau telah menurunkan kebaikan ke atas diriku yang sentiasa berhajat dan memerlukan petunjuk dan rahmatMu. Aku memohon supaya diberikan kekuatan untuk mempersembahkan kepadaMU segala perbuatan kebaikan dariku sebagai balasan di atas segala jenis kebaikan yang telah Engkau turunkan ke atas diriku dan tidaklah pada hakikat sebenar, ianya tidak lebih adalah untuk diriku yang lemah dan hina-dina ini."

P/S:Kalau haram tu, haram la...tak payah la kilaih nak bagi pelepaih jugak...