About This Blog

“Maecen tempu tel lus egetof condimentum rhoncus se quam semper libero”
by Namquam Adipiscing
Delete this widget from your Dashboard and add your own words. This is just an example!
4

Semuanya milik Allah...

|

21 December 2008

Suatu ketika aku dalam perjalanan pulang bersama seorang sahabat dari menyaksikan perlawanan bola sepak liga sepanyol yang berkesudahan dengan pasukan yang aku minat mendapat kemenangan, aku sempat menyatakan kerisauan dan kegelisahan yang aku sedang alami dalam menempuh ujian peperiksaan awal semester yang bakal menyingkapkan tirainya tidak lama lagi. Namun dalam keadaan bersahaja dan selamba, beliau dengan kurang bergaya berkata ;

" Apa yang nak dirisaukan. Kalau kita benar-benar berusaha dan berazam mahu berjaya, tugas kita seterusnya adalah berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Biarlah Allah menentukan dan menilai sejauh mana usaha kita itu. Allah Taala tidak pernah menzalimi hamba-hambanya, malah Allah Taala itu selalu bersama dengan hamba-hambanya. Tetapi kita layak untuk berasa risau dan resah, apabila kita tidak pulun berusaha dengan bersungguh-sungguh dan hanya mengharapkan pertolongan Allah semata-mata. Allah Taala tidak suka kepada hamba-hambanya yang suka berangan-angan tinggi, tetapi usahanya tidak pernah sama sekali kearah untuk merealisasikan impiannya itu ".

Tersentak aku mendengar bait-bait syarahan yang terkeluar dari mulut beliau. Mungkin kalau mengikut peratusan, 99.99% kena tepat ke atas batang hidungku yang tak berapa mancung ini. Kata-kata itu seolah-olah sengaja ditujukan terhadap diriku yang selama ini menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah (bukan tidak) . Namun dalam keheningan malam yang sejuk yang amat tu, aku telan semua kata-kata beliau dan cuba menterjemahkannya dari sudut yang positif walaupun ianya cukup pahit dan kelat.

Memang apa yang diucapkan oleh beliau benar-benar membuatkan aku sejenak terfikir apakah aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian aku selama ini? Setiap orang mempunyai impian. Setiap orang mempunyai cita-cita. Ibu bapa aku juga mempunyai impian, cita-cita dan harapan terhadap diri aku. Kalau tidak, masakan mereka menghabiskan masa, tenaga dan harta untuk memastikan aku terus menyambung pelajaran hingga ke tahap aku berada ketika ini. Namun sejauh mana aku berusaha ke arah itu?

Seronok aku tengok sahabat-sahabat seperjuangan yang sudah berjaya mengecapi kejayaan dalam perjuangan mereka. Mungkin hadaf atau destinasi untuk mencapai cita-cita mereka yang hakiki di dalam hidup mereka itu masih berbaki dan masih jauh. Namun sekurang-kurangnya mereka telah berjaya mengharungi satu jenis cabaran daripada berbagai-bagai jenis dugaan dan ujian sebagai satu proses yang juga merupakan kunci dalam menentukan masa depan mereka. Mungkin segulung ijazah tidak membawa apa-apa makna bagi seorang penuntut ilmu yang sejati, namun ianya berbeza bila diterjemahkan dengan kehendak semasa. Di dalam mengharungi liku-liku cabaran di dunia, kita tidak boleh lari dari keadaan semasa yang terkadang menghimpit kehidupan kita. Apa-apa boleh jadi jika kita tidak bersedia sepenuhnya.

Kehendak semasa itu sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan masalah pengiktirafan sijil yang menyaksikan sahabat-sahabat aku ada yang pulang dengan segulung ijazah namun semuanya ibarat sia-sia belaka gara-gara sikap pegawai JPA yang tidak mahu memberikan pengiktirafan terhadap sijil mereka itu. Aku juga berhadapan dengan situasi yang sama bila dimaklumkan tentang status pengiktirafan itu. Namun setelah mendengar kata-kata semangat dari orang tuaku yang mahu aku terus menyambung pengajianku, aku redha dengan apa yang berlaku. Mungkin sahaja ianya akan berubah pada masa hadapan. Hukum duniawi adalah ciptaan manusia semata. Ianya boleh berubah dari semasa ke semasa. Manusia terkadang tidak sedar terhadap perlakuan-perlakuan mereka yang menzaliminya manusia yang lain. Mereka akan sedar bila mereka merasainya dengan diri mereka sendiri.

Kejayaan dan kemenangan ada di tangan kita. Para sahabat zaman Rasulullah S.A.W tidak pernah diberitakan tentang kemenangan atau kekalahan sebelum turun bertempur di medan perang. Namun kerana yakin dan percaya kepada janji-janji Allah dan Rasulullah, mereka terus berperang dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam memastikan Islam terus dijulang. Mereka juga tidak pernah tahu, apakah cita-cita mereka untuk mati shahid di jalan Allah akan menjadi kenyataan ataupun tidak.

Aku bukanlah seorang yang layak untuk memberikan nasihat atau kata-kata semangat, namun aku ingin mengingatkan kepada diri aku dan diri dan sahabat-sahabat bahawa kejayaan dan kemenangan yang kita telah perolehi atau bakal kita kecapi adalah bukan milik kita. Semua itu adalah pemberiaan dari Allah Taala kepada hamba-hambanya yang sering menangis meronta dan meminta belas kasihan dariNya. Apa yang kita ada pada hari dan saat ini, adalah merupakan pemberianNya kepada kita di dalam bentuk balasan ke atas apa yang kita lakukan.

Ucapan " semoga berjaya " aku lontarkan kepada setiap yang bergelar pejuang-pejuang ilmu yang akan merintangi dan mengharungi cabaran serta liku-liku dalam usaha menuntutnya. Semoga kita semua beroleh kejayaan dan mendapat keredhaan serta dilimpahi dengan rahmat Allah Taala di dalam setiap apa yang kita lakukan.

P/S:Ya Allah Ya Tuhanku...permudahkanlah segala urusanku...
0

Bagus...bagus...ini yang kita nak!!!

|

5 December 2008

FA (Football Association) semalam mengumumkan akan mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat dalam sorakan provokasi terhadap seorang pemain Muslim Middlesbrough, Ahmed Hossam Mido. Mido 25 tahun, berasal dari Republic Arab Mesir itu dikatakan menerima ejekan berbaur keagamaan ketika memanaskan badan untuk turun sebagai pemain gantian dalam perlawanan di antara Midllesbrough dan Newcastle United. Sumber mengatakan bahawa ini adalah kali kedua Mido menerima ejekan bersifat penghinaan agama yang diklasifikasikan sebagai "berbaur perkauman". Walau bagaimanapun, kejadian yang menimpa pemain ini pada tahun lepas tidak mendapat respon yang positif dari pihak FA.

Presiden Gerakan Anti-Racism yang sedang berusaha berkempen dengan membawa moto "Kick It Out" dilaporkan mahu pihak FA mengambil tindakan yang keras dengan segera selepas apa yang berlaku ke atas pemain tersebut. Sambil menyifatkan bahawa tindakan itu adalah tidak patut, FA dikatakan telah mengenal pasti individu-individu tersebut, dan berjanji akan mengambil tindakan yang tegas dan setimpal dalam usaha memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

Mido dipetik sebagai berkata ;

" Saya meminta pihak FA mengambil tindakan serius dan tegas untuk menghentikan perbuatan sedemikian. Sorakan ejekan itu bukan ditujukan ke atas saya secara peribadi, tetapi ianya adalah terhadap Agama Islam ".

Setakat ini, Kelab Newcastle United dikatakan sedia untuk bekerjasama dalam membasmi perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan imej para pemain melalui apa jua sentimen, baik dari perkauman atau keagamaan atau yang sewaktu dengannya.

Walau apapun yang tersurat dan tersirat di dalam hal ini, sebagai Umat Islam, sudah semestinya kita mengalu-alukan tindakan-tindakan positif yang wajib diambil dalam memastikan agama kita terus dipelihara dan terpelihara. Tindakan ini juga seharusnya dicontohi oleh mana-mana organisasi di dunia ini dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan terus wujud.



Tindakan Mido yang mungkin akan mengancam polulariti beliau di Eropah, haruslah dicontohi oleh setiap pemain Muslim yang lain. Dunia sukan hari ini, bola sepak khususnya, perlu menerima hakikat dan mengakui bahawasanya bilangan dan peranan yang dimainkan oleh pemain yang beragama Islam yang juga merupakan aset penting kepada kelab-kelab besar dunia adalah cukup besar. Mungkin dengan pengaruh yang dimiliki oleh mereka di dalam bidang sukan yang paling popular ini, dapat meyakinkan kepada dunia yang selama ini memandang negatif terhadap Islam, bahawa Islam adalah agama yang menitikberatkan keamanan dan kesejahteraan. Islam menolak segala jenis tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang boleh menjatuhkan maruah sesuatu bangsa itu.

Sebagaimana penganut agama lain yang mahukan kebebasan untuk mengamalkan budaya dan amalan agama mereka, Umat Islam juga menuntut perkara yang serupa tanpa ada perbezaan dan batasan atau sekatan yang dikenakan terhadap mereka.

P/S: Sabda Nabi Muhammad S.A.W : " Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Agama Islam ".