About This Blog

“Maecen tempu tel lus egetof condimentum rhoncus se quam semper libero”
by Namquam Adipiscing
Delete this widget from your Dashboard and add your own words. This is just an example!
0

Buat baik dibalas baik...

|

29 March 2009

( Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?Ar-Rahman;60 )

Lama menyepi. Macam biasa, alasan yang sudah bosan dan agak terkebelakang tapi masih relevan untuk digunakan serta susah untuk di tolak; kekurangan dan kekeringan idea membelenggu diri serta ketiadaan waktu untuk menulis kerana telah banyak digunakan atau ayat lebih tepat lagi dihabiskan pada perkara-perkara yang agak kurang berfaedah. Tanpa berhajat dan perlu untuk menukilkan perkara-perkara tersebut, kali ini entry lebih cenderung kepada nasihat dan pesanan untuk diri sendiri khususnya.

Pepatah Melayu, yang penuh sarat dengan kalam sastera orang-orang tua lama yang terkadang banyak terpengaruh dengan tahyul yang karut-marut ada menyebut; "buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali" ( macam nak sama dengan PS aku pada entry lepas ). Walaupun banyak tafsiran dan terjemahan yang boleh dibuat pada pepatah ini, namun apa yang hendak dimaksudkan adalah seakan-akan maksud kalam Allah s.w.t di atas. Sudah tentunya tanpa syak wasangka dan ragu-ragu lagi, Al-quran telah wujud sebelum pepatah Melayu yang kebanyakkannya karut-marut muncul. Sekaligus ini bermakna, pepatah Melayu itu tadi telah mengambil dan meminjam serta mengiyakan akan kalam Allah yang sebenarnya tidak berhajat dan perlu lansung kepada peng"iya"an mana-mana kaum termasuklah Melayu itu sendiri.

Sekilas pandang, kita melihat ayat tersebut seolah-olah hendak menyatakan kepada kita bahawa, perbuatan yang baik semestinya perlu dibalas dengan kebaikan jua (bukan setakat kena kenang ja). Sebagai orang Islam yang telah lama menganut agama yang suci dan murni ini, sejak dari dalam perut ibu hinggalah besar hampir serupa gajah, satu perkara yang telah kita fahami dan maklumi, sesungguhnya Allah s.w.t tidak pernah berhajat apa-apapun daripada hamba-hambanya walaupun sekelumit.

Dalam konteks ayat di atas, ianya bukan bermaksud; apabila Allah s.w.t menurunkan kebaikkan kepada kita, maka seharusnya kita perlu membuat kebaikkan sebagai balasan untuk apa yang diturunkan olehNya. Jika kita mentafsirkan sedemikian rupa, maka kita seolah-olah mengatakan bahawa kita perlu membuat kebaikan kepadaNya juga sebagai balasan. Adakah Allah s.w.t berhajat kepada kebaikkan kita? dan adakah sebelum Allah s.w.t menciptakan kita, Dia berjahat kepada hamba-hamba atau ciptaan untuk berbuat baik kepadaNya? Maha suci Allah dari segala perkara itu. Dia adalah Maha kaya-raya. Setiap apa yang selainNya itu adalah ققير اليه (berhajat kepadanya). Firman Allah s.w.t yang bermaksud:"

(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu. Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah."
Sebenarnya, perbuatan baik yang kita lakukan dan laksanakan adalah ianya semata-mata hanyalah untuk diri kita yang hina-dina ini. Perbuatan itu tidak ada kena mengena lansung dengan nikmat kebaikan yang telah Allah turunkan kepada segenap manusia. Perbuatan itu pada hakikatnya adalah untuk bekalan kita untuk berjumpa dengan Pencipta segala kejadian. Kita sebagai hambaNya akan berasa amat malu apabila memerhatikan dan mendalami maksud ayat tersebut yang pada zahirnya, ia menyeru kepada kita untuk membalas padaNya dengan kebaikan di atas segala jenis kebaikan yang telah diturunkan. Sebaliknya pada hakikat sebenar, balasan itu bukanlah untuk Dia, akan tetapi ianya adalah untuk diri kita sendiri. Seolah-olah Allah s.w.t sengaja meletakkan diriNya sebagai penerima kebaikan supaya kita sebagai hambanya suka dan cinta untuk terus melakukannya.

Kebiasannya dalam kehidupan manusia, kalau kita menerima sesuatu yang baik, sudah tentu kita akan membalas seumpamanya jua, yang seterusnya akan membawa kebaikan dalam perhubungan sesama manusia. Nah, inikan pula membalas dengan berbuat baik (mentaati perintah Allah dan RasulNya) kepada Sang Pencipta yang menurunkan rezeki dan rahmat! Sudah tentu akan melimpah-ruah dan berganda nikmat yang akan diturunkan kelak. Siapa yang berakal dan cukup sifatnya sebagai seorang manusia, yang tidak suka mendapat balasan, apabila melakukan kebaikan kepada seseorang (tak kigha la mintak ka dak. Persoalan dia suka ka dak?)?.

Seolah-olahnya kita ini, apabila berbuat baik kepada Allah, Dia akan membalas dengan kebaikan sepertimana pepatah Melayu (yang kebanyakannya sonsang) tadi " buat baik dibalas baik " . Padahal, perbuatan baik yang dikerjakan itu adalah berbalik kepada bekalan untuk kita di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. "
Maka dengan itu, aku menyeru diri aku sendiri khususnya (bila ada khusus mesti ada am, pandai-pandai buat ayat sendiri) untuk melakukan kebaikan dan terus melaksanakannya hanya semata-mata untuk diri yang hina-dina ini. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

" Ya Allah Ya Tuhanku, telah benarlah setiap apa yang Engkau katakan( Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?). Sesungguhnya Engkau telah menurunkan kebaikan ke atas diriku yang sentiasa berhajat dan memerlukan petunjuk dan rahmatMu. Aku memohon supaya diberikan kekuatan untuk mempersembahkan kepadaMU segala perbuatan kebaikan dariku sebagai balasan di atas segala jenis kebaikan yang telah Engkau turunkan ke atas diriku dan tidaklah pada hakikat sebenar, ianya tidak lebih adalah untuk diriku yang lemah dan hina-dina ini."

P/S:Kalau haram tu, haram la...tak payah la kilaih nak bagi pelepaih jugak...